Pandangan Najib Tersasar : Rakyat Perlu Nilai
26 Ogos 2009
Tahniah kepada Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32. Kartika tetap dengan pendiriannya untuk menjalani hukuman syariat yang dijatuhkan terhadapnya. Tetapi malangnya ada segolongan pembesar yang tidak faham dengan kehendak hukuman yang terdapat dalam Islam.
Najib beria-ria benar mahukan Kartika membuat rayuan untuk melepaskan dirinya dari terus dihukum sebat akibat minum arak di khalayak ramai dan telah disabitkan kesalahan oleh Hakim Mahkamah Syariah Kuantan.
Tahukah Najib bahawa hukum sebat terhadap pesalah minum arak telah pun dijalankan pada zaman penurunan wahyu lagi hingga kepada kepimpinan para sahabat. Pada zaman Rasulullah hukumannya 80 sebatan, manakala pada zaman sahabat 100 sebatan, ini mungkin cara pencegahan pada masa itu yang menyaksikan masyarakat semakin meningkat statistik peminum arak.
Dalam kes Kartika, Najib seoalah-olah menempelak undang-undang syariah yang mula hendak dipraktikkan di negara kita. Ini jelas apabila Najib berpendapat hukuman sebat atau hukuman syariah perlu diketepikan untuk mengenengahkan tarbiah. Tarbiah merupakan sesuatu yang mesti dan bagi pesalah juga mesti dihukum mengikut Islam tanpa kompromi.
Najib tetap berpendapat tarbiah diutamakan terutama kepada wanita, beliau perlu tahu dalam Islam tidak pernah membezakan pesalah dalam hukuman.
Najib juga berlagak alim dengan menyatakan Nabi Muhammad lebih mementingkan belas kasihan dari hukuman. Ianya benar sekiranya belum terbukti, sekarang kes sudah terbukti bersalah, dan pesalah telah redha dengan hukuman yang bakal diterimanya.
Hasil dari pandangan Najib yang tersasar ini membawa padah kepada nasib hukum syara' di 1 Malaysia apabila Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Rahman Yunus memberi jaminan menyemak semula enakmen hukuman sebat atas kesalahan minum arak selepas Aidilfitri ini yang turut membabitkan kes Kartika.
Dalam perkara ini kita berharap suara Majlis Fatwa Kebangsaan atau mufti yang lantang menegakkan kebenaran bersuara untuk mengelakkan kekliruan masyarakat terhadap hukum Islam. Sekiranya ianya didiamkan, nyatalah mereka-mereka ini tidak menegakkan kebenaran selain memuaskan nafsu keduniaan semata dengan habuan yang dihidangkan pemerintah.
Laporan penuh boleh rujuk disini, tengok betapa bebalnya seorang pemimpin kita hari ini. Terbuktilah apa yang dinukil dari junjungan besar Muhammad S.A.W. yang membawa maksud dunia ini akan huru hara kerana yang menjadi pemimpin bukan dari kalangan orang yang faham agama, dan ia mencampuri urusan agama seolah-olah lebih arif dari yang alim.
Ketahuilah, hukuman yang terdapat dalam al-Quran dan apa yang dilaksanakan bukanlah suatu penyiksaan semata ianya "Nakaalam minallaah" pencegahan daripada Allah S.W.T.. Sekiranya kita menolak hukum tersebut dengan penuh pengetahuan dan penuh kesedaran maka akidah kita akan tersasar dari landasan Islam.